Ahad, 6 Disember 2009

Pengunjung Setia PMR

Pusat PMR Pengkalan Hulu memang popular di kalangan pelajar-pelajar di daerah ini. Pada setiap petang ada saja pelajar yang berkunjung ke PMR. Mereka menggunakan kesempatan untuk mencari maklumat, membuat kerja sekolah dan sebagainya.

Dari pengamatan kakitangan disini, apa yang istimewanya ada seorang pelajar lelaki yang menjadi mengunjung paling setia PMR. Pada setiap petang dan cuti sekolah, pagi-pagi lagi beliau sudah berada di PMR.

Beliau yang dimaksudkan ialah Adik Muhammad Khairuddin bin Saifullah , pelajar tingkatan 3, Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Hulu. Sekiranya ada anugerah pengunjung paling setia oleh jabatan, beliaulah yang paling layak menerimanya.

Ahad, 29 November 2009

Masjid Daerah Pengkalan Hulu

Pada bulan Febuari 2010 adalah dijangkakan Masjid Daerah Pengkalan Hulu ( Masjid Iskandari) yang baru akan mula dapat digunakan. Sekarang ini telah hampir siap 90 % pembinaannya. Ianya terletak dibelakang Stesen Minyak Petronas Pengkalan Hulu, berhampiran Mini Stadium dan pejabat-pejabat kerajaan.

Dengan kos pembinaan RM6.2 juta dan akan dapat menampong jemaah seramai 1800 orang. Pada 2010 ini , kepadatan jemaah pada setiap kali Sembahyang Jumaat akan dapat diatasi dengan siapnya masjid baru tersebut.

Ini adalah merupakan satu rahmat dan nikmat pembangunan dari kerajaan kepada seluruh penduduk Pengkalan Hulu. Dan mudah-mudahan dengan adanya masjid baru ini akan dapat warga Pengkalan Hulu manafaatkannya dengan sebaik mungkin.

Rabu, 25 November 2009

Aidil Adha, Pengorbanan dan Keegoan

Esok 26 November 2009, umat Islam akan merayakan Hari Raya Aidil Adha. Tidak seperti sambutan Hari Raya Aidil Fitri yang meriah, Hari Raya Aidil Adha disambut secara sederhana.
Hari Raya Aidil Adha diraikan sempena pengobanan Nabi Ibrahim dan Ismail anaknya. Pengorbanan yang sukar untuk manusia laksanakan. Namun Nabi Ibrahim bertawakal dan menyerah diri kepada Allah.

Itulah Nabi Ibrahim seorang hamba yang taat, bertakwa dan tidak ego dan sombong diri. Baginda sanggup melakukan pengorbanan semata-mata kerana Allah. Dan akhirnya baginda dirahmati dan dimuliakan oleh Allah dan seluruh umat manusia hingga kini.

Sebagai hamba Allah seperti Nabi Ibrahimkah kita ?. Ramai insan didunia ini yang sombong, bongkak, ego dan merendahkan orang lain. Manusia merasakan dirinya ada kuasa, perlu dihormati dan boleh buat dan lakukan apa yang dia suka . Namun tanpa kita sedar bahawa watak kita sebenarnya menempah kebencian Allah dan insan seluruhnya.

Sempena dengan sambutan Aidil Adha ini, kembali renungkan diri kita. Banyak pohon keampunan dan kemaafan kepada Yang Maha Esa atas kesalahan yang dilakukan dengan sengaja dan tanpa sedar. Manusia jangan rampas keegoaan yang hanya layak dimiliki oleh Allah. Kita hamba yang sewajibnya menjadi insan merendah diri dan bertakwa.

Ahad, 22 November 2009

Hujan, Banjir Dan Tanggungjawap Ibubapa

Sejak kebelakangan ini hujan sering turun dengan lebatnya. Di Kelantan, Terengganu, Kedah dan beberapa daerah di Perak dilanda banjir. Akibat bencana banjir ini telah ada beberapa kes yang melibatkan kematian.
Ramai ibubapa yang semakin risau dengan keadaan cuaca sekarang. Apa tidaknya kerana anak-anak yang akan menduduki SPM agak terjejas dengan keadaan sekarang. Bertambah-tambah merunsingkan fikiran ialah sekarang pula musim cuti sekolah , anak-anak duduk dirumah dan musin banjir ini mereka jadikan satu pesta untuk bermain air.
Satu pengorbanan yang boleh dibuat oleh ibubapa ialah mengambil cuti pada ketika ini. Anak-anak boleh diberikan perhatian yang lebih. Keselamatan mereka lebih terjamin dan kasih sayang akan terjalin mesra . Dan akan lahirlah " Rumahku Syurgaku ".

Selamat Datang Ke Negeri Perak Darul Ridzuan

Saya mula bertugas kembali setelah bercuti dari 6 November 2009 hingga 20 November 2009. Bercuti bukan pergi makan angin atau sengaja nak berehat tetapi bercuti menyelesaikan masalah kesihatan.
Dikesempatan ini saya dan seluruh kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu mengucapkan selamat datang dan selamat bertugas kepada Yang Berbahagia Tuan Haji Zaharin bin Haji Zainudin, Pengarah Penerangan Malaysia Negeri Perak yang baru.
Mudah-mudahan akan terjalin hubungan terbaik dengan semua warga Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Perak. Insya Allah.

Selasa, 29 September 2009

SELOKA OPS SIKAP

Aidil Fitri disambut meriah
Disambut meriah pagi dan petang
Apa malang apa kejadah
Ops Sikap 20, 261 nyawa melayang

Dipagi raya berkereta baru
Baru dibeli seminggu lalu
Sungguhnya hati rasa pilu
Rakyat Malaysia pandu terlalu laju

Dari kampong hendak kepekan
Singgah dipasar membeli ikan
Ingatlah teman ingatlah kawan
Segala berlaku jadikan teladan

Rabu, 16 September 2009

HADIAH UNTUK TUN DR.MAHATHIR

Perwakilan MIC mencadangkan Tun Dr.Mahathir dihadiahkan kalungan selipar. Hadiah simbolik dan satu sindiran untuk seorang negarawan yang telah menaburkan jasa selama 22 tahun bagi memastikan Malaysia berada ditahap kecemerlangan bertaraf dunia.

Amat jelas keegoan insan tersebut. Budi bahasa budaya kita yang menjadi pegangan masyarakat Malaysia dilemparkan jauh dari sudut hati. Rasa hormat sudah diketepikan.

Dan tidak sewajarnya percakapan begitu terjadi disaat kita sedang membina satu identiti 1Malaysia.

HADIAH AIDIL FITRI

PANTUN HADIAH AIDIL FITRI ( RM500.00 )

Akan menjelang Aidil Fitri
Rasa seronok tidak terperi
Kakitangan kerajaan harus mensyukuri
Hadiah wang yang diberi.

Sejak menjadi Perdana Menteri
Membuat perubahan sudah semesti
Rakyat sekarang semakin mengerti
Inilah pemimpin yang bijak bestari

Selasa, 15 September 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

SALAM AIDIL FITRI

Aidil Fitri menjelang lagi
Segala persiapan sudah dibeli
Marilah semua insan bestari
Salah dan silap harap dimaafi

Pulang perantau di Aidil Fitri
Inilah saat sangat dinanti
Pesanan untuk semua sekali
Memandulah dengan berhati-hati

SALAM AIDIL FITRI

DARI WARGA PENERANGAN PENGKALAN HULU
MAAF ZAHIR BATIN.

SIVIK RAMADHAN

Sempena dengan bulan Ramadhan ini, Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu telah dapat melaksanakan satu Program Sivik Ramadhan. Dengan sedikit peruntukan dari Ibu Pejabat, Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Perak program itu telah dapat dilaksanakan pada 15 September 2009 bertempat di Masjid Air Panas, Pengkalan Hulu.

Dihadiri lebih kurang 150 orang, program dimulakan dengan majlis berbuka puasa dan selepas Solat Maghrib nasi briani menjadi hidangan istimewa buat semua tetamu yang hadir.

Mudah-mudahan majlis ini mendapat keberkatan dari Allah SWT.

MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN HARIRAYA

Majlis Penyampaian Sumbangan Hariraya Aidil Fitri telah diadakan pada 14 September 2009 bertempat di Perkarangan Pejabat Daerah Dan Tanah Pengkalan Hulu. Penyampaian sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri DiRaja Tajol Rosli bin Ghazali, Adun Pengkalan Hulu.

Majlis ini merupakan satu majlis tradisi yang diadakan pada setiap tahun. Rahman Hydraulic Tin Sdn.Berhad sebuah syarikat perlombongan yang beroperasi di Klian Intan adalah merupakan penyumbang kepada sumbangan hariraya tersebut.

Seramai 90 orang golongan miskin di daerah ini telah menerima sumbangan masing-masing di majlis tersebut.

Rabu, 9 September 2009

Kita Saudara Serumpun

Sejak kebelakangan ini saudara kita di Indonesia sering mengadakan tunjuk perasaan sebagai bantahan bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka kepada Malaysia. Dan yang terbaru hanya kerana masalah tarian telah menimbulkan kekecohan pada rakyat Indonesia.

Sungguh tidak diduga, saudara kita rakyat Indonesia begitu emosional sekarang ini. Kedutaan Malaysia menjadi sasaran protes rakyat Indonesia. Mereka bagaikan sudah hilang pertimbangan fikiran. Semangat persaudaraan diantara kita yang sekian lama kukuh ikatan mereka ketepikan sama sekali. Mereka sedang mengundang api permusuhan dan persengketaan.

Ketidakmatangan saudara kita di seberang sana terutamanya golongan mudanya sudah melampaui batas. Saudara kita sudah lupa bahawa bumi bertuah Malaysia ini tempat saudara -saudara mereka mencari sesuap nasi. Dan sekarang mereka sanggup menghalakan bambu runcing kepada kita.

Saudaraku diseberang sana ! Usahlah kerana sebuah tarian, darah kita mahu dijadikan galang gantinya. KITA ADALAH SAUDARA SERUMPUN.

Terlalu Murah Harga Sebuah Nyawa

Hariraya Aidil Fitri akan datang tak lama lagi. Pada 13 September 2009, OP Sikap akan bermula bagi memastikan pengguna jalanraya mematuhi segala aspek keselamatan dijalanraya.
Pada tahun ini, adalah diharapkan kemalangan maut dijalanraya pada musim hariraya ini akan dapat dikurangkan memandangkan saban tahun ratusan rakyat Malaysia terkorban dijalanraya.
Untuk renungan semua rakyat Malaysia khususnya para pemandu. Usahlah jadikan harga sebuah nyawa terlalu murah dijalanraya. Memandu dengan laju, potong kiri potong kanan, mahu menjadi juara dijalanraya, tidak penting orang lain , akulah yang paling terror , biadap dan semua itu mengundang sebuah kematian.Apakah rakyat Malaysia tidak takut mati atau mereka sudah bosan untuk hidup ???????
Jangan dialirkan air mata ibu dan ayah. Jangan dibiarkan isteri menangis sedih, kasihanlah dianak meratapi kekakuan tubuh seorang ayah.Dan jangan jadikan harga sebuah nyawa terlalu murah.

Selasa, 8 September 2009

MAJLIS PENYERAHAN HAK MILIK TANAH

Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah RPT Kampong Tasek dan RPB Felcra Kampong Pahit, Pengkalan Hulu telah berlangsong pada 8 September 2009 jam 3.00 petang diPerkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Pengkalan Hulu.
Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh YAB Dato Seri Dr.Zambry bin Abd.Kadir, Menteri Besar Perak. Turut hadir dimajlis tersebut ialah mantan Menteri Besar Perak YB Dato Seri DiRaja Tajol Rosli bin Ghazali, Adun Pengkalan Hulu, YB Dato Tan Liang Hoe, Ahli Parlimen Gerik, Adun Temenggor dan Adun Kenering.
Seramai 22 orang penduduk di Kampong Tasek dan dan 67 orang Kampong Pahit telah menerima geran hak milik tanah masing-masing pada majlis tersebut.

Rabu, 2 September 2009

RON 95

Kerajaan telah memperkenalkan minyak petrol baru iaitu Ron 95 . Minyak ini dikatakan lebih mesra alam dan amat sesuai untuk semua kenderaan.
Seiring dengan pengenalan minyak baru tersebut, kerajaan juga telah mengumumkan akan kenaikan harga minyak Ron 95 sebanyak 10 sen selitar. Namun subsidi masih diberi dan ini menjadi tanggungjawap kerajaan untuk rakyat.
Ketika Umat Islam sedang menghadapi bulan Ramadhan dan tidak lama lagi akan menyambut Hari Raya Aidilfitri timbul persoalan, wajarkah minyak dinaikkan disaat ini ?.
Sekarang ini harga ikan basah agak mahal. Gula dihadkan 2 kilogram sahaja untuk seorang. Harga lauk pauk terutamanya ikan bakar, ayam percik memang mahal di Pasar Ramadhan. Bagaimana nasib golongan penoreh getah, buruh kasar. Mereka juga ingin nak makan ayam percik dan ikan bakar yang diluar daripada kemampuan mereka.

JASAMU DIKENANG

Baru-baru ini Komuniti Bestari Kampong Selarong bersama-sama dengan JKKK telah mengadakan satu " Majlis Jasamu Dikenang " .Majlis itu diadakan untuk meraikan Tuan Haji Hassan bin Hussin bekas Pengerusi JKKK Kampong Selarong yang juga Pengerusi Komuniti Bestari Kampong Selarong .
Tuan Haji Hassan bin Hussin yang telah berumur 74 tahun telah melepaskan semua jawatan yang disandangnya termasuk Pengerusi Komuniti Bestari bagi memberi ruang kepada golongan yang lebih muda untuk menerajui kepimpinan diperingkat kampong.
Bagi pihak Jabatan Penerangan Malaysia merakamkan ribuan terima kasih kepada beliau yang telah banyak memberikan sumbangan ketika bersama Komuniti Bestari. Salam perpisahan untuk Tuan Haji Hassan bin Hussin.

Krisis Kepimpinan MCA dan V.Sivakumar

Krisis kepimpinan diantara Presiden MCA dan Timbalan Presiden MCA telah sampai kemuncak. Berkemungkinan besar dua mesyuarat agung luar biasa akan diadakan tidak lama lagi. Disini bukan soal dua mesyuarat agung luar biasa yang nak diperbincangkan tetapi soal perpecahan dikalangan ahli-ahli parti itu sendiri.
Kemelut kepimpinan yang melanda MCA jika tidak dikawal amat merbahaya kepada perpaduan MCA itu sendiri. Kemelut itu juga nyata akan turut menjejaskan imej Barisan Nasional. Luka parah serta tercalarnya imej BN dalam PRU ke 12 lalu masih belum lagi sembuh dan sekarang krisis kepimpinan MCA akan menambahkan lagi tercalarnya imej BN.
Cara terbaik ialah Perdana Menteri wajar segera campurtangan agar perpecahan didalam MCA dapat dibendong. Dan Presiden dan Timbalan Presiden wajar bertemu bagi menyelesaikan masalah kepimpinan ini. Jangan dibiarkan ahli-ahli MCA tersepit diantara dua pemimpin . Sudah pastinya Pakatan Rakyat bersorak gembira dan bertepuk tangan melihat krisis ini.

Bercakap tentang V.Sivakumar bekas Speaker DUN Perak amat menarik untuk diperkatakan. Masih belum menerima hakikat bahawa beliau bukan lagi Speaker DUN Perak namun masih mahu tunjuk kuasa. Tindakan beliau menghantar surat memanggil Sidang DUN Perak telah melampaui batas. Apa lagi perkataan yang sewajarnya untuk dilabelkan kepada beliau.
Ramai yang berpendapat, V.Sivakumar wajar diambil tindakan undang-undang dan Kerajaan BN Perak patut mendapatkan perintah mahkamah agar beliau berdiam diri dan tidak mengambil tindakan diluar bidang kuasanya.
Samada krisis kepimpinan MCA atau tindakan V.Sivakumar kedua-dua perkara tersebut menjurus kepada soal siapa yang berkuasa. Dan kedua-duanya boleh membawa kepada perpecahan dan yang menjadi terkeliru ialah RAKYAT.

Selasa, 1 September 2009

Majlis Berbuka Puasa dan More Komuniti Bestari Klian Intan

Komuniti Bestari Klian Intan telah mengambil inisiatif untuk mengadakan majlis berbuka puasa dan more sempena bulan Ramadhan bersama-sama dengan penduduk beragama Islam Klian Intan di Masjid Klian Intan pada 6 September 2009 ini.
Semua penduduk beragama Islam di Klian Intan serta kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu telah dijemput untuk bersama-sama dimajlis tersebut. Mudah-mudahan majlis yang murni ini akan mendapat keberkatan dari Allah SWT. InsyaAllah.

Kursus Induksi Umum

Pegawai Penerangan Daerah Pengkalan Hulu, Ismail bin Shafee telah menghadiri Kursus Induksi Umum Kumpulan 1 7/2009 Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bermula 16 Ogos 2009 hingga 27 Ogos 2009.
Kursus itu telah diadakan di Agrotek Garden Resort, Hulu Langat, Selangor. Seramai 48 orang kakitangan gred 27 hingga Gred 41 dari Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah mengikuti kursus tersebut.
Ternyata kursus itu banyak memberikan pendedahan yang amat berguna kepada semua kakitangan untuk terus memberikan sumbangan terbaik ketika menjalankan tugas harian.

Jumaat, 7 Ogos 2009

MESYUARAT BULANAN KAKITANGAN

Pada 4 Ogos 2009 yang lalu Mesyuarat Bulanan Kakitangan Pejabat Pengkalan Hulu telah diadakan di Bilik Mesyuarat, Pejabat Penerangan Daerah, Pengkalan Hulu.
Seramai 5 orang kakitangan hadir didalam mesyuarat tersebut. Antara perkara yang telah diperbincangkan ialah gerakerja luar serta arahan-arahan semasa yang perlu dialaksanakan pada bulan Ogos ini.
Pada bulan ini Mohamad Hafidza bin Abdul Manaf, JAV tidak bersama didalam mesyuarat ini kerana telah meninggalkan Jabatan Penerangan Malaysia untuk mengikuti Kursus Jururawat mulai 1 Julai 2009 yang lalu.

SUKAN SEMPADAN MALAYSIA - THAILAND KALI KE 25

Sukan Sempadan Malaysia ( Hulu Perak ) - Thailand( Betong) kali Ke 25 akan berlangsong Majlis Perasmian dan Penutup pada 8 Ogos 2009 bermula jam 2.00 petang di Mini Stadium, Majlis Daerah Pengkalan Hulu.
Berbagai acara sukan diantara kakitangan kerajaan Hulu Perak ( Malaysia ) dengan kakitangan kerajaan Thailand( Betong) telah diadakan sejak 1 Ogos 2009 yang lalu. Kemuncak kepada majlis tersebut ialah perlawanan bola sepak(lelaki) serta tarik tali wanita pada malam 8 Ogos 2009 di Mini Stadium Pengkalan Hulu sebelum majlis penutup berlangsong.
Sukan sempadan ini membuktikan hubungan baik dan mesra dua hala antara Malaysia- Thailand sejak 25 tahun yang lalu. Mudah-mudahan hubungan baik akan terus berkekalan bagi menjamin keharmonian keselamatan kedua-dua negara.

Khamis, 30 Julai 2009

Al Fatihah Buat Allahyarham ADUN Permatang Pasir,Pulau Pinang

Ketika sedang memandu didalam perjalanan kepejabat, saya telah menerima SMS dari rakan di Bukit Mertajam. SMSnya berbunyi " Ustaz Hamdan, ADUN Permatang Pasir meninggal dunia. Al Fatihah untuk Allahyarham.
Allahyarham Ustaz Hamdan, saya kenal ketiga saya bertugas di Daerah Bukit Mertajam. Allahyarham menang kerusi DUN Permatang Pasir mewakili Parti PAS. Dan menang mudah. Bagi saya kemenangannya kerana Allahyarham anak tempatan, tidak sombong, mudah mesra dan sedia membantu.
Saya masih ingin ketika Allahyarham bersama Pegawai khasnya mengunjungi Pejabat Kebajikan Masyarakat yang kebetulan disebelah Pejabat Penerangan Daerah Bukit Mertajam pastinya Allahyarham dan Pegawai Khasnya akan menjenguk Pejabat Penerangan. Allahyarham akan berjumpa saya dan meminta penerbitan jabatan.
Itulah secebis kenangan ketika saya mengenali Allahyarham. Semoga Allah Mencucuri Rohnya serta menempatkannya dikalangan orang-orang Soleh. Amin.

Selasa, 28 Julai 2009

INFO BESTARI KOMUNITI BESTARI KLIAN INTAN

Komuniti Bestari Klian Intan pada 24 Julai 2009 telah melaksanakan Program Info Bestari. ini bermakna kouta perlaksanaan Info Bestari bagi Daerah Pengkalan Hulu telahpun mencapai KPI.
Dengan mengadakan ceramah agama di Masjid Klian Intan dengan dihadiri lebihkurang 100 orang majlis tersebut telah berjaya memberi pendedahan mengenai beberapa perkara yang bersangkutan dengan hal ehwal agama.

Isnin, 6 Julai 2009

Info Bestari Komuniti Bestari KampongSelarong

Komuniti Bestari Kampong Selarong telah melaksanakan Program Info Bestari pada 1 Julai 2009 yang lalu di Sekolah Kebangsaan Bekuai, Pengkalan Hulu. Program itu telah diisikan dengan ceramah khas Selsema Babi( H1N1) dan juga pemeriksaan kesihatan secara percuma bagi penduduk-penduduk di Kampong Selarong. Sehingga kini cuma Komuniti Bestari Klian Intan yang belum melaksanakan Program Info Bestari.

PROGRAM SEPAKAT BESTARI

Pada 28.6.2009 Program Sepakat Bestari Komuniti Bestari Daerah Pengkalan Hulu telah berlangsong di Dewan Orangramai Klian Intan. Program telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato Haji Selamat Sukimi, Timbalan Ketua Pengarah ( Dasar), Jabatan Penerangan Malaysia.Turut sama didalam program tersebut ialah Yang Berbahagia Tuan Haji Abdullah Mohd.Ariff, Pengarah Penerangan Malaysia Negeri Perak yang turut berucap didalam majlis itu.

Dihadiri lebih kurang 250 orang dari Komuniti Bestari Klian Intan, KB Kg.Selarong dan KB Belukar Semang di Daerah Pengkalan Hulu yang mana berbagai acara telah diadakan sempena dengan program itu. Antaranya Persembahan Sketsa, Deklamasi Sajak, Tarian Tradisional, Sukaneka, Pamiran Agensi Kerajaan, jualan-jualan dan cabutan bertuah.

Timbalan Ketua Pengarah juga telah dibawa melawat kawasan perlombongan bijih timah diatas gunung di Klian Intan dan Anjung Bestari KB Belukar Semang. Pada malam 27.6.09 dan 28.6.09 Pentarama telah diadakan untuk tontonan orangramai.

Khamis, 4 Jun 2009

MESYUARAT BULANAN KAKITANGAN

Pada 4 June 2009, Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu telah mengadakan mesyuarat bulanan bagi bulan June 2009 di Bilik Mesyuarat, Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu. Semua kakitangan pejabat seramai 6 orang telah menghadiri mesyuarat tersebut.
Seperti kebiasaan beberapa perkara yang menyentuh tentang pentadbiran dan aktiviti -aktiviti jabatan telah diperbincangkan bersama-sama dengan kakitangan.
Pada bulan ini antara program yang telah dirancang dan akan dilaksanakan ialah Lawatan Sambil Belajar ke Lembah Bujang, Kedah dan Kem Setia Negara di Serendah SiKebun Bunga, Sik, Kedah khusus untuk Ahli-ahli Kelab Setia.
Dan pada 28 June 2009, Program Sepakat Bestari Daerah Pengkalan Hulu akan berlangsung di Dewan Orangramai Klian Intan. Adalah dijangkakan Yang Berbahagia Dato Ketua Pengarah, Jabatan Penerangan Malaysia akan merasmikan program tersebut.

PROGRAM INFO BESTARI KOMUNITI BESTARI BELUKAR SEMANG

Komuniti Bestari Belukar Semang merupakan Komuniti Bestari pertama di Daerah Pengkalan Hulu yang telah melaksanakan Program Info Bestari. Pada 3 June 2009, bertempat di Dewan Orangramai Kampong Tasek telah berlangsungnya program tersebut yang telah dirasmikan oleh Tuan Haji Ismail bin Shafee, Pegawai Penerangan Daerah Pengkalan Hulu.
Dihadiri lebih kurang 100 orang, program tersebut telah diisikan dengan ceramah khas " Selsema Babi ( H1 N1) " yang telah disampaikan oleh Dr. Hasniwati binti Ahmad, Pegawai Perubatan dan Kesihatan Daerah Pengkalan Hulu.
Pada peringkat awal ,pemeriksaan kesihatan telah dirancang untuk orangramai namun ianya tidak dapat dilaksanakan kerana kakitangan Pusat Kesihatan Pengkalan Hulu terpaksa bertugas disempadan bagi mengawal H1 N1.
Dua lagi Komuniti Bestari didaerah ini dijangka akan melaksanakan Program Info Bestari dalam jangka masa yang terdekat.

Selasa, 2 Jun 2009

Program Cabaran Kecergasan Peringkat Daerah Pengkalan Hulu

Pejabat Belia Daerah Pengkalan Hulu pada 30 Mei 2009 telah berjaya melaksanakan Program Kecergasan Peringkat Daerah Pengkalan Hulu . Program telah berlangsung di Padang Bandaran Pengkalan Hulu dengan dihadiri lebih kurang 500 orang.
Program tersebut yang bermatlamatkan budaya hidup sihat di kalangan rakyat telah diisikan dengan acara senamrobik, berbasikal dan kemuncaknya Cabutan Bertuah.
Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu telah memberi perkhidmatan Alatsiaraya bagi sama-sama menjayakan program tersebut.

PENGKALAN HULU -DESTINASI KOMUNITI BESTARI PASIR MAS, KELANTAN

Pada 29 Mei 2009, Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu telah dipilih oleh Komuniti Bestari Pasir Mas ,Kelantan sebagai destinasi lawatan baru-baru ini. Seramai 40 orang AJK Biro Wanita, Komuniti Bestari Daerah Pasir Mas telah menyertai Lawatan Sambil Belajar.
Rombongan tersebut telah sampai di pejabat lebih kurang jam 12.20tgh. dan disambut mesra oleh semua kakitangan pejabat.
Dengan sedikit upacara ringkas, iaitu kata-kata aluan dari Ismail bin Shafee, Pegawai Penerangan Daerah Pengkalan Hulu dan ucapan balas dari Puan Halimah Awang Chik , Pegawai Penerangan Daerah Pasir Mas majlis berjalan dengan penuh mesra.
Rombongan telah dijamu dengan jamuan makan tengahari sebelum berangkat meninggalkan pejabat pada jam 12.45 tgh.

Khamis, 28 Mei 2009

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KOMUNITI BESTARI PENGKALAN HULU KE PULAU PINANG DAN KEDAH

Komuniti Bestari Pengkalan Hulu yang terdiri dari KB Kg.Selarong. KB Klian Intan dan KB Belukar Semang telah mengadakan Lawatan Sambil Belajar ke KB Permatang Manggis, Seberang Perai Utara dan KB Bongor, Baling, Kedah pada 21 Mei 2009 lalu.
Seramai 12 orang AJK dari ketiga-tiga Komuniti Bestari bersama 5 orang kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu turut serta di dalam lawatan tersebut.
Selain dapat berkenalan dan bertukar-tukar pandangan dengan AJK Komuniti Bestari yang dilawati , AJK Komuniti Bestari Pengkalan Hulu dapat melihat dan meninjau Anjung Bestari Komuniti Bestari berkenaan.
Lawatan tersebut diharap dapat dimanafaatkan sepenuhnya oleh ketiga-tiga Komuniti Bestari Pengkalan Hulu samada dari aspek pentadbiran ataupun susunatur Anjung Bestari .

Khamis, 21 Mei 2009

PILIHANRAYA KECIL PENANTI - ANTARA IMEJ DAN MARUAH

Keputusan BN tidak bertanding dalam Pilihanraya Kecil DUN Penanti menepati ramalan banyak pihak di daerah ini. BN tidak bersedia dan menganggap piliharaya itu sebagai mainan politik dan membazir masa dan wang.
Selama disini dan dari tinjauan rambang dan cakap-cakap di kedai kopi ramai ahli-ahli UMNO yang keciwa dan tidak menduga BN akan mengambil keputusan itu. Bagi mereka keputusan itu benar-benar telah mencemarkan imej dan maruah BN.
Pakatan Rakyat telah menang sebelum bertanding. Mereka akan mencanang kepada pengundi disini bahawa BN sebenarnya takut menghadapi Pakatan Rakyat. BN sekiranya bertanding di Penanti pastinya tidak akan menang kerana Pakatan Rakyat khususnya PKR terlalu unggul di Penanti. BN akan mendapat malu besar kerana rekod telah membuktikan Pakatan Rakyat telah menang 4 -1.
Dan Pakatan Rakyat khususnya Dato Seri Anwar Ibrahim akan terus menjadi HERO yang menjadi pujaan di sini.

Sabtu, 16 Mei 2009

BN MESTI BERTANDING

Telah masuk tiga hari saya bertugas di Bukit Mertajam. Pada 18 Mei 2009 baru semua dapat tahu samada BN akan bertanding atau tidak dalam Pilihanraya Kecil Penanti.
Selama tiga hari, dari risikan dikedai-kedai kopi, sembang-sembang dengan kawan-kawan lama disini telah dapat dibuat kesimpulan bahawa ramai yang mahu BN bertanding. Soal kalah atau menang tolak ketepi dulu. Apa yang penting imej dan maruah BN perlu dijaga. Itulah kehendak pengundi disini.
Apa yang hendak saya katakan sekiranya BN tidak bertanding, akan pudar segala kerancakkan nya. Pilihanraya itu akan menjadi muram. Minat untuk pengundi keluar mengundi akan jatuh merudum. Dan pilihanraya itu bagaikan tidak ada serinya.

Khamis, 14 Mei 2009

PILIHARAYA NEGERI PERAK

Kemungkinan Pilihanraya Negeri Perak akan diadakan setelah mahkamah mengistiharkan bahawa Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah.
Kemelut politik Negeri Perak akan terus berpanjangan sehingga kesatu tarikh yang belum pasti lagi. BN dan Pakatan Rakyat pastinya sudah punyai perancangan rapi bagi memastikan rakyat Negeri Perak memberi sekali lagi ruang untuk menerajui Perak. Itupun bergantung kepada keputusan pihak istana.
Sekiranya Pilihanraya Negeri terpaksa diadakan , disitu akan menjadi medan untuk menguji pengaruh BN atau Pakatan Rakyat. Kuasa yang ada pada rakyat akan menentukan siapa yang berhak untuk memerintah Perak.
Namun kita semua jangan lupa kemelut politik yang melanda Perak sedikit sebanyak telah menjejaskan perpaduan , mencemarkan kemuliaan DUN dan rakyat menjadi keliru.
Apakah kita akan sanggup untuk terus melihat perpaduan semakin pudar, politik semakin menjejaskan kepercayaan rakyat atau bagaimana ? Fikirkanlah..........

SELAMAT HARI GURU

Selamat Hari Guru pada 16 Mei 2009 untuk semua warga Penerangan yang mempunyai saudara mara yang bertugas sebagai guru tidak kira samada seorang suami, isteri, anak atau saudara mara.
Sama-sama kita berdoa kepada Allah Yang Maha Berkuasa agar dikurniakan kekuatan dan semangat kerja yang jitu kepada semua guru . Harapan kita para guru akan terus membimbang anak bangsa menjadi jenerasi berilmu dan berakhlak mulia.
Mudah-mudahan Allah Yang Maha Pengasih memuliakan hamba-hambanya di Malaysia ini. Dan berilah peringatan untuk semua agar kita menjauhkan segala yang ditegahnya.

Rabu, 13 Mei 2009

TUGAS KHAS DUN PENANTI

Ismail bin Shafee, Pegawai Penerangan Daerah Pengkalan Hulu telah diarahkan untuk bertugas khas di dalam Pilihanraya Kecil Dun Penanti. Bermula 14 Mei 2009 tarikh melapor di Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Tengah dan akan berakhir pada 31 Mei 2009.
Tarikh penamaan calon ialah pada 23 Mei 2009 dan sekiranya ada pertandingan ,hari mengundi ialah pada 31 Mei 2009.
Pada pandangan saya, BN wajar bertanding . Maruah BN pasti tercalar sekiranya tidak bertanding didalam Pilihanraya Kecil Penanti. Biarpun DUN Penanti meruapakan kubu kuat PKR namun BN harus ada keyakinan diri.
Mengaku kalah sebelum berjuang akan menjatuhkan imej BN yang selama ini kental, punyai semangat juang yang tinggi dan tidak pernah tunduk dengan tekanan.

Jumaat, 8 Mei 2009

KOMUNITI BESTARI KAMPONG SELARONG

Komuniti Bestari Kampong Selarong merupakan salah satu daripada tiga Komuniti Bestari dibawah tajaan Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu. Ditubuhkan pada tahun 2000 dan merupakan Komuniti Bestari tertua di daerah ini.
Pengerusinya Tuan Haji Hassan bin Hussin telah diamanahkan memegang jawatan tersebut sejak ditubuhkan. Dan yang amat menjadi kekaguman saya ialah Tuan Haji Hassan telahpun mencecah umur 74 tahun. Masih kuat, bertenaga dan bersemangat untuk memimpin Komuniti Bestari.
Amat jarang pada masa kini , orang yang telah berumur seperti Tuan Haji Hassan mahu memegang sesuatu jawatan. Ramai yang berumur sepertinya banyak merapatkan diri dengan masjid dan majlis-majlis ilmu.
Tahniah untuk Tuan Haji Hassan dan seluruh AJK Komuniti Bestari Kampong Selarong.

KOMUNITI BESTARI BELUKAR SEMANG DAN SELAMAT HARI VESAK

Di Pengkalan Hulu, Komuniti Bestari Belukar Semang adalah merupakan Komuniti Bestari yang ditubuhkan pada tahun 2007 yang terdiri dari kelompok masyarakat Siam. Pengerusinya En.Ban Theng a/l Din Ren adalah juga merupakan Penghulu Kerajaan. Keseluruhan AJK Komuniti Bestari ini adalah masyarakat Siam.
Belukar Semang adalah sebuah kampong yang ada keistimewaannya. Duriannya dikatakan mempunyai isi kuning yang cukup menyelerakan dan yang terbaik di daerah ini. Dalam bulan Julai dan Ogos ini , dikatakan durian akan mula luruh.
Bercakap mengenai masyarakat Siam pada 9 Mei 2009 adalah Hari Wesak. Saya dan seluruh kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Wesak.

Khamis, 7 Mei 2009

KLIAN INTAN YANG TERISTIMEWA

Klian Intan satu kawasan pekan kecil dan juga kampong yang terletak diDaerah Kecil Pengkalan Hulu. Penduduknya Melayu, Cina, India, Siam dan Orang Asli telah lama mengamalkan semangat Satu Malaysia. Hidup dalam harmoni, hormat menghormati dan sentiasa berkerjasama di dalam apa-apa juga.
Itu di antara satu keistimewaan di antara beberapa keistimewaan di Klian Intan. Dan disini adanya Komuniti Bestari, Jabatan Penerangan Malaysia yang telah ditubuhkan pada tahun 2001.
Satu lagi keistimewaan Klian Intan dan mungkin satu-satunya di Malaysia ialah industri melombong bijih timah diatas gunung( ini yang istimewanya). Industri itu diusahkan oleh Rahman Hydralic Berhad. Ramai penduduk Klian Intan yang berkerja disyarikat berkenaan termasuklah Pengerusi Komuniti Bestari En.Tajul Ahmad Idris bin Nor Yusof.
Maklumat dari Pengerusi Komuniti Bestari Klian Intan bahawa industri melombong bijih dipergunungan itu dianggarkan dapat diusahakan sehingga 30 tahun lagi. Bagi Komuniti Bestari yang berminat untuk melawat industri itu bolehlah berhubung dengan Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu.

Rabu, 6 Mei 2009

KOPI CORNER

Sejak bertugas sebagai Pegawai Penerangan Daerah ada beberapa perkara telah dibuat bagi memastikan keselesaan serta kelincinan pentadbiran. Bukan untuk menyusahkan sesiapa tetapi lebih menjurus untuk menuju landasan perubahan yang lebih baik.
Salah satu perubahan ialah mengujudkan Kopi Corner Pejabat. Setiap kakitangan menyumbang wang bagi membeli keperluan seperti kopi peket, gula, roti ( biskut ) dan lain-lain. Tujuannnya jelas iaitu dapat menjimatkan masa pergi minum dipekan dan dapat menjimatkan belanja harian . Sekarang ini sepinggang bihun atau nasi lemak dengan air mencecah RM3.00.
Al maklum dah menjadi sunnahtullah manusia, selalu makan roti dengan kopi dipejabat lama-lama jemu( cemuis). Saya bersama kakitangan sekali-sekala keluar makan dipekan.Benarlah apa yang dikatakan , manusia tak pernah puas dengan apa yang Allah anugerahkan.( termasuklah saya PPD Pengkalan Hulu)

MESYUARAT KHAS SEPAKAT BESTARI DAN INFO BESTARI

Satu Mesyuarat Khas bagi membincangkan Program Sepakat Bestari dan Info Bestari Komuniti Bestari Daerah Pengkalan Hulu telah berlangsung pada 6 Mei 2009 di Anjung Bestari Klian Intan.
Pegawai Penerangan Daerah,Ismail bin Shafee, En.Mohd.Zamri bin Md.Zin , En.Md.Sazali bin Abd.Hamid, Pengawai Penyelaras serta En.Ahmad Misran bin Din, JAV berserta Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari Komuniti Bestari Klian Intan, Komuniti Bestari Kampong Selarong dan Komuniti Bestari Belukar Semang turut sama hadir didalam mesyuarat tersebut.
Keputusan telah dicapai Program Sepakat Bestari Daerah Pengkalan Hulu ditetapkan pada 28 June 2009 dan Komuniti Bestari Klian Intan bersetuju menjadi tuan rumah.Program tersebut dicadangkan perasmiannya disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato Ketua Pengarah, Jabatan Penerangan Malaysia.
Bagi Program Info Bestari tarikh perlaksaanan Komuniti Bestari Kampong Selarong ialah pada 30 Mei 2009, Komuniti Bestari Belukar Semang pada 3 June 2009 dan Komuniti Bestari Klian Intan pada 7 June 2009.

Selasa, 5 Mei 2009

PERINGATAN DARI SEBUAH LAGU

Dalam perjalanan sekembalinya dari mesyuarat di Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Perak ,kedengaran lagu " Selimut Putih " yang dinyanyikan oleh Ustaz Akil Hayy. Lagu tersebut seingat aku pernah popular dalam tahun 70 an oleh Kumpulan El Suraya dari Indonesia ( kalau tak silap).
Seni katanya aku hayati dengan kusyuk lagi mengasyikkan.Dan ada beberapa baitnya yang menyentuh perasaan aku. Antaranya , " Tinggal semua yang dikasihi terbujur badan tanpa iringan " dan " selimut putih pembalut badan " .
Maka akupun muhasabah diri.. Bila agaknya noktah perjalanan bagi hidup aku ini ?.Mungkinkah hari ini, esok atau lusa aku akan dijemput oleh Allah menjadi tetamunya ?
Amalan diri rasanya belum cukup sebagai bekalan untuk bertemu Allah. Dosa yang dilakukan secara sedar atau tidak , mungkin tidak terhitung.
Maka kematian itu menjadi satu kegerunan untuk aku menghadapinya.

DURIAN DAN RAMBUTAN DAH MAI BALIK









Musim durian dan rambutan dah mula berbuah kembali. Di Pejabat Penerangan Daerah, Pengkalan Hulu 4 pokok durian yang terdapat diperkarangan pejabat dan mula berbuah. Begitu juga pokok rambutan turut sama berbuah.
Kalau ada rezeki pada penghujung bulan Julai dan awal Ogos nanti dapatlah makan buah durian dan rambutan dipejabat ini. Kata kakitangan pejabat ,buah durian dipejabat ini isinya pulamak ! sedap tak terkata.
Nak jemput semua kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Perak mai makan durian dan rambutan tak cukup pula. Sapa yang baik dengan saya adalah rezeki dia nanti. Yang tak dijemput jangan kecil hati. Maaflah !!!

VIRUS H 1 N 1

Virus H1 N 1 atau Selsema babi telah menyerang dunia. Mexico negara penyebar virus tersebut telah mengorbankan ramai rakyat Mexico dan Amerika. Seluruh dunia bimbang dan amat takut dengan virus ini.

Ramai yang berkata itu merupakan satu wabak baru yang menjejaskan semua negara dari aspek pelancongan. Kita juga tidak tahu bagaimana virus ini tiba-tiba sahaja ujud dan membunuh ratusan manusia.

Memang benar ini merupakan satu wabak. Namun kita lupa bahawa bahawa wabak ini adalah satu bala kepada manusia dari Allah Yang Maha Kuasa . Mungkinkah Tuhan murka akan segala maksiat dan dosa-dosa yang telah manusia lakukan. Entahlah ! kemungkinan ada kebenarannya?

Untuk rakyat Malaysia, sama-samalah kita menjaga diri masing-masing agar terhindar dari wabak yang menakutkan ini.

MESYUARAT BULANAN( MEI ) KAKITANGAN PEJABAT















Pada 4 Mei 2009 Mesyuarat Bulanan ( MEI ) Kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu telah diadakan di Bilik Mesyuarat, Pejabat Penerangan Daerah, Pengkalan Hulu.
Semua kakitang seramai 6 orang telah hadir didalam mesyuarat itu. Berbagai perkara serta arahan jabatan telah diperbincangkan untuk meningkatkan lagi prestasi kerja dilapangan.
Aktiviti Komuniti Bestari, Kelab Setia serta beberapa isu semasa Satu Malaysia, Malaysia Perkasa dan Rukun Negara telah disentuh didalam mesyuarat tersebut.
InsyaAllah segala amanah yang dipikulkan keatas kakitangan pejabat akan dilaksanakan sebaik mungkin.

Isnin, 4 Mei 2009

MESYUARAT PENYELARASAN KELAB SETIA DAERAH PENGKALAN HULU

Pada 4 Mei 2009, Pejabat Penerangan Daerah, Pengkalan Hulu telah mengambil satu lagi langkah terbaru iaitu mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Kelab Setia Daerah Pengkalan Hulu. Mesyuarat tersebut berlangsung Di Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu.

Satu-satunya Kelab Setia diDaerah Pengkalan Hulu ialah Kelab Setia Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Saban. Guru Penasihat iaitu Cikgu Mohd.Nor bin Sharip bersama 7 orang Ahli Jawatankuasa Kelab Setia telah hadir di dalam mesyuarat tersebut.

Beberapa aktiviti untuk Kelab Setia bagi tahun 2009 telah dirancangkan. Antaranya Lawatan Sambil Belajar ke tempat sejarah di Negeri Kedah, Khemah Kerja Setia Negara Kelab Setia dan Pertandingan Pidato . Bagi Pertandingan Pengisahan Peringkat Negeri Perak, Kelab Setia Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Saban telah memberi pengakuan untuk menyertainya.


Menjadi harapan Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu , mesyuarat serta perancangan yang telah dibincangkan akan dapat memartabatkan nama Kelab Setia di daerah ini.

Ahad, 3 Mei 2009

AL FATIHAH UNTUK ALLAHYARHAMAH ROSMAWATI MAT ISA

Al Fatihah ......!!!

Sama-samalah kita sedekahkan Al Fatihah untuk Allahyarhamah Rosmawati Mat Isa, Pembantu Penerangan yang telah kembali kerahmatullah pada 29 April 2009 yang lalu. Takziah untuk keluarganya dan sama-sama kita berharap keluarganya tabah menghadapi ujian Allah ini.

Allahyarhamah telah pun kembali meninggalkan kita semua. Kita yang masih disini entah bila akan dijemput oleh Yang Maha Kuasa untuk menjadi tetamunya. Entah sekejap lagi, esok, lusa atau bila masanya hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Sementera menanti jemputan Allah itu marilah kita renungkan akan perjalanan hidup kita ini yang semakin hari semakin hampir bertemu Allah. Cukupkah amalan yang telah kita lakukan sebagai bekalan untuk menuju kealam baqa nanti. Mampukah kita berhadapan saat-saat sakratulmaut yang amat sakit dan tidak termampu kita menghadapinya nanti. Renung dan fikirkanlah.....!!!!!!!

Sabtu, 2 Mei 2009

TAHNIAH KEPADA PENGARAH PENERANGAN MALAYSIA NEGERI PERAK

Saya selaku Pegawai Penerangan Daerah, Pengkalan Hulu dan seluruh kakitangan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berbahagia Tuan Haji Abdullah bin Mohd.Ariff,Pengarah Penerangan Malaysia Negeri Perak diatas pengurniaan Darjah Paduka Mahkota Perak(PMP) oleh DYMM Sultan Perak sempena dengan Sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak baru-baru ini.

Pengurniaan ini sesungguhnya menjadi kebanggaan kakitangan Jabatan. Dan adalah menjadi harapan semua kakitangan dengan pengurniaan ini akan memberi suntikan baru kepada Tuan Pengarah Penerangan Malaysia Negeri Perak untuk memperkasakan Jabatan Penerangan Malaysia Perak.

TAHNIAH !!!
TAHNIAH !!!
TAHNIAH !!!

Jumaat, 1 Mei 2009

SELAMAT HARI PEKERJA 2009

Dari wargakerja Pejabat Penerangan Daerah, Pengkalan Hulu mengucapkan Selamat Hari Pekerja bagi kakitangan Pejabat Penerangan Daerah, Pengkalan Hulu dan seluruh wargakerja Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Perak dan seluruh Malaysia.

Tidak lupa untuk wargakerja didaerah Pengkalan Hulu samada yang bertugas disektor awam atau diswasta. Dan ingatlah akan hasrat murni Perdana Menteri " Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.

Semuga sukses didalam setiap apa yang dilakukan. Dan ikhlaskan hati bahawa kita bertugas adalah kerana Allah SWT.

MESYUARAT PENYELARASAN KOMUNITI BESTARI DAERAH PENGKALAN HULU

Pejabat Penerangan Daerah ,Pengkalan Hulu telah mengambil satu langkah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Komuniti Bestari Daerah Pengkalan Hulu. Mesyuarat itu telah diadakan kali pertamanya pada 28 April 2009 di Anjung Bestari Komuniti Bestari Belukar Semang.

Mesyuarat pertamanya yang dipengerusikan oleh Ismail bin Shafee, Pegawai Penerangan Daerah Pengkalan Hulu telah memberi penerangan akan halatuju mesyuarat penyelarasan tersebut. Mesyuarat Penyelarasan ini akan mengadakan mesyuarat secara tetap setiap 3 bulan sekali dan setiap Komuniti Bestari akan bergilir-gilir menjadi tuan rumah kepada mesyuarat ini. Antara matlamatnya ialah :-

i. Merapatkan hubungan antara kakitangan pejabat dengan AJK Komuniti Bestari.
ii. Mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan.
iii. Menyalurkan maklumat dan isu-isu terkini kepada AJK Komuniti Bestari.
iv. Dapat menyelaraskan percambahan idea dikalangan Pegawai Penyelaras dan AJK
Komuniti Bestari.
v. Dapat memantau dan menambahbaikan Anjung Bestari agar lebih teratur dan kemas.

Didalam mesyuarat tersebut setiap Komuniti Bestari akan diwakili Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari. Turut menganggotai mesyuarat ini ialah En.Mohamad Zamri bin Md.Zin dan Md.Sazali bin Abd.Hamid, Pegawai Penyelaras serta En.Ahmad Misran bin Din dan En.Muhamad Hafidza bin Abdul Manaf, Juruaudio Visual dari Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu.

Harapan Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu idea mengadakan mesyuarat penyelarasan ini akan dapat memperkasa Komuniti Bestari didaerah ini.

SELAMAT DATANG KEPEJABAT PENERANGAN DAERAH PENGKALAN HULU


PEJABAT PENERANGAN DAERAH
PENGKALAN HULU
PERAK DARUL RIDZUAN



Assalamualaikum........!!!
Selamat datang ke blog
Pejabat Penerangan Daerah,
Pengkalan Hulu,
Perak Darul Ridzuan.

Pejabat Penerangan Daerah, Pengkalan Hulu terletak di Jalan Pejabat, Pengkalan Hulu. Ianya berhampiran dengan Pejabat Daerah Pengkalan Hulu, Majlis Daerah Pengkalan Hulu, Mahkamah, Pejabat Belia , mini stadium dan beberapa lagi pejabat kerajaan.

Kakitangan pejabat cuma 6 orang terdiri dari Ismail bin Shafee, Pegawai Penerangan Daerah, En.Mohamad Zamri bin Md.Zin dan En Md.Sazali bin Abd.Hamid, Pembantu Penerangan, En.Ahmad Misran bin Din dan En.Muhamad Hafidza bin Abdul Manaf, Juruaudio Visual dan En.Mohd.Fauzie, PRA.

Daerah tugasan cuma satu Dewan Undangan Negeri iaitu DUN Pengkalan Hulu yang terletak di bawah Parlimen Grik.

Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu mempunyai 3 Komuniti BESTARI iaitu Komuniti Bestari Selarong, Komuniti Bestari Klian Intan dan Komuniti Bestari Belukar Semang. Buat masa sekarang cuma satu Kelab Setia yang telah ditubuhkan iaitu Kelab Setia Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Saban.