Khamis, 28 Mei 2009

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KOMUNITI BESTARI PENGKALAN HULU KE PULAU PINANG DAN KEDAH

Komuniti Bestari Pengkalan Hulu yang terdiri dari KB Kg.Selarong. KB Klian Intan dan KB Belukar Semang telah mengadakan Lawatan Sambil Belajar ke KB Permatang Manggis, Seberang Perai Utara dan KB Bongor, Baling, Kedah pada 21 Mei 2009 lalu.
Seramai 12 orang AJK dari ketiga-tiga Komuniti Bestari bersama 5 orang kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu turut serta di dalam lawatan tersebut.
Selain dapat berkenalan dan bertukar-tukar pandangan dengan AJK Komuniti Bestari yang dilawati , AJK Komuniti Bestari Pengkalan Hulu dapat melihat dan meninjau Anjung Bestari Komuniti Bestari berkenaan.
Lawatan tersebut diharap dapat dimanafaatkan sepenuhnya oleh ketiga-tiga Komuniti Bestari Pengkalan Hulu samada dari aspek pentadbiran ataupun susunatur Anjung Bestari .

Khamis, 21 Mei 2009

PILIHANRAYA KECIL PENANTI - ANTARA IMEJ DAN MARUAH

Keputusan BN tidak bertanding dalam Pilihanraya Kecil DUN Penanti menepati ramalan banyak pihak di daerah ini. BN tidak bersedia dan menganggap piliharaya itu sebagai mainan politik dan membazir masa dan wang.
Selama disini dan dari tinjauan rambang dan cakap-cakap di kedai kopi ramai ahli-ahli UMNO yang keciwa dan tidak menduga BN akan mengambil keputusan itu. Bagi mereka keputusan itu benar-benar telah mencemarkan imej dan maruah BN.
Pakatan Rakyat telah menang sebelum bertanding. Mereka akan mencanang kepada pengundi disini bahawa BN sebenarnya takut menghadapi Pakatan Rakyat. BN sekiranya bertanding di Penanti pastinya tidak akan menang kerana Pakatan Rakyat khususnya PKR terlalu unggul di Penanti. BN akan mendapat malu besar kerana rekod telah membuktikan Pakatan Rakyat telah menang 4 -1.
Dan Pakatan Rakyat khususnya Dato Seri Anwar Ibrahim akan terus menjadi HERO yang menjadi pujaan di sini.

Sabtu, 16 Mei 2009

BN MESTI BERTANDING

Telah masuk tiga hari saya bertugas di Bukit Mertajam. Pada 18 Mei 2009 baru semua dapat tahu samada BN akan bertanding atau tidak dalam Pilihanraya Kecil Penanti.
Selama tiga hari, dari risikan dikedai-kedai kopi, sembang-sembang dengan kawan-kawan lama disini telah dapat dibuat kesimpulan bahawa ramai yang mahu BN bertanding. Soal kalah atau menang tolak ketepi dulu. Apa yang penting imej dan maruah BN perlu dijaga. Itulah kehendak pengundi disini.
Apa yang hendak saya katakan sekiranya BN tidak bertanding, akan pudar segala kerancakkan nya. Pilihanraya itu akan menjadi muram. Minat untuk pengundi keluar mengundi akan jatuh merudum. Dan pilihanraya itu bagaikan tidak ada serinya.

Khamis, 14 Mei 2009

PILIHARAYA NEGERI PERAK

Kemungkinan Pilihanraya Negeri Perak akan diadakan setelah mahkamah mengistiharkan bahawa Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah.
Kemelut politik Negeri Perak akan terus berpanjangan sehingga kesatu tarikh yang belum pasti lagi. BN dan Pakatan Rakyat pastinya sudah punyai perancangan rapi bagi memastikan rakyat Negeri Perak memberi sekali lagi ruang untuk menerajui Perak. Itupun bergantung kepada keputusan pihak istana.
Sekiranya Pilihanraya Negeri terpaksa diadakan , disitu akan menjadi medan untuk menguji pengaruh BN atau Pakatan Rakyat. Kuasa yang ada pada rakyat akan menentukan siapa yang berhak untuk memerintah Perak.
Namun kita semua jangan lupa kemelut politik yang melanda Perak sedikit sebanyak telah menjejaskan perpaduan , mencemarkan kemuliaan DUN dan rakyat menjadi keliru.
Apakah kita akan sanggup untuk terus melihat perpaduan semakin pudar, politik semakin menjejaskan kepercayaan rakyat atau bagaimana ? Fikirkanlah..........

SELAMAT HARI GURU

Selamat Hari Guru pada 16 Mei 2009 untuk semua warga Penerangan yang mempunyai saudara mara yang bertugas sebagai guru tidak kira samada seorang suami, isteri, anak atau saudara mara.
Sama-sama kita berdoa kepada Allah Yang Maha Berkuasa agar dikurniakan kekuatan dan semangat kerja yang jitu kepada semua guru . Harapan kita para guru akan terus membimbang anak bangsa menjadi jenerasi berilmu dan berakhlak mulia.
Mudah-mudahan Allah Yang Maha Pengasih memuliakan hamba-hambanya di Malaysia ini. Dan berilah peringatan untuk semua agar kita menjauhkan segala yang ditegahnya.

Rabu, 13 Mei 2009

TUGAS KHAS DUN PENANTI

Ismail bin Shafee, Pegawai Penerangan Daerah Pengkalan Hulu telah diarahkan untuk bertugas khas di dalam Pilihanraya Kecil Dun Penanti. Bermula 14 Mei 2009 tarikh melapor di Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Tengah dan akan berakhir pada 31 Mei 2009.
Tarikh penamaan calon ialah pada 23 Mei 2009 dan sekiranya ada pertandingan ,hari mengundi ialah pada 31 Mei 2009.
Pada pandangan saya, BN wajar bertanding . Maruah BN pasti tercalar sekiranya tidak bertanding didalam Pilihanraya Kecil Penanti. Biarpun DUN Penanti meruapakan kubu kuat PKR namun BN harus ada keyakinan diri.
Mengaku kalah sebelum berjuang akan menjatuhkan imej BN yang selama ini kental, punyai semangat juang yang tinggi dan tidak pernah tunduk dengan tekanan.

Jumaat, 8 Mei 2009

KOMUNITI BESTARI KAMPONG SELARONG

Komuniti Bestari Kampong Selarong merupakan salah satu daripada tiga Komuniti Bestari dibawah tajaan Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu. Ditubuhkan pada tahun 2000 dan merupakan Komuniti Bestari tertua di daerah ini.
Pengerusinya Tuan Haji Hassan bin Hussin telah diamanahkan memegang jawatan tersebut sejak ditubuhkan. Dan yang amat menjadi kekaguman saya ialah Tuan Haji Hassan telahpun mencecah umur 74 tahun. Masih kuat, bertenaga dan bersemangat untuk memimpin Komuniti Bestari.
Amat jarang pada masa kini , orang yang telah berumur seperti Tuan Haji Hassan mahu memegang sesuatu jawatan. Ramai yang berumur sepertinya banyak merapatkan diri dengan masjid dan majlis-majlis ilmu.
Tahniah untuk Tuan Haji Hassan dan seluruh AJK Komuniti Bestari Kampong Selarong.

KOMUNITI BESTARI BELUKAR SEMANG DAN SELAMAT HARI VESAK

Di Pengkalan Hulu, Komuniti Bestari Belukar Semang adalah merupakan Komuniti Bestari yang ditubuhkan pada tahun 2007 yang terdiri dari kelompok masyarakat Siam. Pengerusinya En.Ban Theng a/l Din Ren adalah juga merupakan Penghulu Kerajaan. Keseluruhan AJK Komuniti Bestari ini adalah masyarakat Siam.
Belukar Semang adalah sebuah kampong yang ada keistimewaannya. Duriannya dikatakan mempunyai isi kuning yang cukup menyelerakan dan yang terbaik di daerah ini. Dalam bulan Julai dan Ogos ini , dikatakan durian akan mula luruh.
Bercakap mengenai masyarakat Siam pada 9 Mei 2009 adalah Hari Wesak. Saya dan seluruh kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Wesak.

Khamis, 7 Mei 2009

KLIAN INTAN YANG TERISTIMEWA

Klian Intan satu kawasan pekan kecil dan juga kampong yang terletak diDaerah Kecil Pengkalan Hulu. Penduduknya Melayu, Cina, India, Siam dan Orang Asli telah lama mengamalkan semangat Satu Malaysia. Hidup dalam harmoni, hormat menghormati dan sentiasa berkerjasama di dalam apa-apa juga.
Itu di antara satu keistimewaan di antara beberapa keistimewaan di Klian Intan. Dan disini adanya Komuniti Bestari, Jabatan Penerangan Malaysia yang telah ditubuhkan pada tahun 2001.
Satu lagi keistimewaan Klian Intan dan mungkin satu-satunya di Malaysia ialah industri melombong bijih timah diatas gunung( ini yang istimewanya). Industri itu diusahkan oleh Rahman Hydralic Berhad. Ramai penduduk Klian Intan yang berkerja disyarikat berkenaan termasuklah Pengerusi Komuniti Bestari En.Tajul Ahmad Idris bin Nor Yusof.
Maklumat dari Pengerusi Komuniti Bestari Klian Intan bahawa industri melombong bijih dipergunungan itu dianggarkan dapat diusahakan sehingga 30 tahun lagi. Bagi Komuniti Bestari yang berminat untuk melawat industri itu bolehlah berhubung dengan Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu.

Rabu, 6 Mei 2009

KOPI CORNER

Sejak bertugas sebagai Pegawai Penerangan Daerah ada beberapa perkara telah dibuat bagi memastikan keselesaan serta kelincinan pentadbiran. Bukan untuk menyusahkan sesiapa tetapi lebih menjurus untuk menuju landasan perubahan yang lebih baik.
Salah satu perubahan ialah mengujudkan Kopi Corner Pejabat. Setiap kakitangan menyumbang wang bagi membeli keperluan seperti kopi peket, gula, roti ( biskut ) dan lain-lain. Tujuannnya jelas iaitu dapat menjimatkan masa pergi minum dipekan dan dapat menjimatkan belanja harian . Sekarang ini sepinggang bihun atau nasi lemak dengan air mencecah RM3.00.
Al maklum dah menjadi sunnahtullah manusia, selalu makan roti dengan kopi dipejabat lama-lama jemu( cemuis). Saya bersama kakitangan sekali-sekala keluar makan dipekan.Benarlah apa yang dikatakan , manusia tak pernah puas dengan apa yang Allah anugerahkan.( termasuklah saya PPD Pengkalan Hulu)

MESYUARAT KHAS SEPAKAT BESTARI DAN INFO BESTARI

Satu Mesyuarat Khas bagi membincangkan Program Sepakat Bestari dan Info Bestari Komuniti Bestari Daerah Pengkalan Hulu telah berlangsung pada 6 Mei 2009 di Anjung Bestari Klian Intan.
Pegawai Penerangan Daerah,Ismail bin Shafee, En.Mohd.Zamri bin Md.Zin , En.Md.Sazali bin Abd.Hamid, Pengawai Penyelaras serta En.Ahmad Misran bin Din, JAV berserta Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari Komuniti Bestari Klian Intan, Komuniti Bestari Kampong Selarong dan Komuniti Bestari Belukar Semang turut sama hadir didalam mesyuarat tersebut.
Keputusan telah dicapai Program Sepakat Bestari Daerah Pengkalan Hulu ditetapkan pada 28 June 2009 dan Komuniti Bestari Klian Intan bersetuju menjadi tuan rumah.Program tersebut dicadangkan perasmiannya disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato Ketua Pengarah, Jabatan Penerangan Malaysia.
Bagi Program Info Bestari tarikh perlaksaanan Komuniti Bestari Kampong Selarong ialah pada 30 Mei 2009, Komuniti Bestari Belukar Semang pada 3 June 2009 dan Komuniti Bestari Klian Intan pada 7 June 2009.

Selasa, 5 Mei 2009

PERINGATAN DARI SEBUAH LAGU

Dalam perjalanan sekembalinya dari mesyuarat di Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Perak ,kedengaran lagu " Selimut Putih " yang dinyanyikan oleh Ustaz Akil Hayy. Lagu tersebut seingat aku pernah popular dalam tahun 70 an oleh Kumpulan El Suraya dari Indonesia ( kalau tak silap).
Seni katanya aku hayati dengan kusyuk lagi mengasyikkan.Dan ada beberapa baitnya yang menyentuh perasaan aku. Antaranya , " Tinggal semua yang dikasihi terbujur badan tanpa iringan " dan " selimut putih pembalut badan " .
Maka akupun muhasabah diri.. Bila agaknya noktah perjalanan bagi hidup aku ini ?.Mungkinkah hari ini, esok atau lusa aku akan dijemput oleh Allah menjadi tetamunya ?
Amalan diri rasanya belum cukup sebagai bekalan untuk bertemu Allah. Dosa yang dilakukan secara sedar atau tidak , mungkin tidak terhitung.
Maka kematian itu menjadi satu kegerunan untuk aku menghadapinya.

DURIAN DAN RAMBUTAN DAH MAI BALIK









Musim durian dan rambutan dah mula berbuah kembali. Di Pejabat Penerangan Daerah, Pengkalan Hulu 4 pokok durian yang terdapat diperkarangan pejabat dan mula berbuah. Begitu juga pokok rambutan turut sama berbuah.
Kalau ada rezeki pada penghujung bulan Julai dan awal Ogos nanti dapatlah makan buah durian dan rambutan dipejabat ini. Kata kakitangan pejabat ,buah durian dipejabat ini isinya pulamak ! sedap tak terkata.
Nak jemput semua kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Perak mai makan durian dan rambutan tak cukup pula. Sapa yang baik dengan saya adalah rezeki dia nanti. Yang tak dijemput jangan kecil hati. Maaflah !!!

VIRUS H 1 N 1

Virus H1 N 1 atau Selsema babi telah menyerang dunia. Mexico negara penyebar virus tersebut telah mengorbankan ramai rakyat Mexico dan Amerika. Seluruh dunia bimbang dan amat takut dengan virus ini.

Ramai yang berkata itu merupakan satu wabak baru yang menjejaskan semua negara dari aspek pelancongan. Kita juga tidak tahu bagaimana virus ini tiba-tiba sahaja ujud dan membunuh ratusan manusia.

Memang benar ini merupakan satu wabak. Namun kita lupa bahawa bahawa wabak ini adalah satu bala kepada manusia dari Allah Yang Maha Kuasa . Mungkinkah Tuhan murka akan segala maksiat dan dosa-dosa yang telah manusia lakukan. Entahlah ! kemungkinan ada kebenarannya?

Untuk rakyat Malaysia, sama-samalah kita menjaga diri masing-masing agar terhindar dari wabak yang menakutkan ini.

MESYUARAT BULANAN( MEI ) KAKITANGAN PEJABAT















Pada 4 Mei 2009 Mesyuarat Bulanan ( MEI ) Kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu telah diadakan di Bilik Mesyuarat, Pejabat Penerangan Daerah, Pengkalan Hulu.
Semua kakitang seramai 6 orang telah hadir didalam mesyuarat itu. Berbagai perkara serta arahan jabatan telah diperbincangkan untuk meningkatkan lagi prestasi kerja dilapangan.
Aktiviti Komuniti Bestari, Kelab Setia serta beberapa isu semasa Satu Malaysia, Malaysia Perkasa dan Rukun Negara telah disentuh didalam mesyuarat tersebut.
InsyaAllah segala amanah yang dipikulkan keatas kakitangan pejabat akan dilaksanakan sebaik mungkin.

Isnin, 4 Mei 2009

MESYUARAT PENYELARASAN KELAB SETIA DAERAH PENGKALAN HULU

Pada 4 Mei 2009, Pejabat Penerangan Daerah, Pengkalan Hulu telah mengambil satu lagi langkah terbaru iaitu mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Kelab Setia Daerah Pengkalan Hulu. Mesyuarat tersebut berlangsung Di Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu.

Satu-satunya Kelab Setia diDaerah Pengkalan Hulu ialah Kelab Setia Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Saban. Guru Penasihat iaitu Cikgu Mohd.Nor bin Sharip bersama 7 orang Ahli Jawatankuasa Kelab Setia telah hadir di dalam mesyuarat tersebut.

Beberapa aktiviti untuk Kelab Setia bagi tahun 2009 telah dirancangkan. Antaranya Lawatan Sambil Belajar ke tempat sejarah di Negeri Kedah, Khemah Kerja Setia Negara Kelab Setia dan Pertandingan Pidato . Bagi Pertandingan Pengisahan Peringkat Negeri Perak, Kelab Setia Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Saban telah memberi pengakuan untuk menyertainya.


Menjadi harapan Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu , mesyuarat serta perancangan yang telah dibincangkan akan dapat memartabatkan nama Kelab Setia di daerah ini.

Ahad, 3 Mei 2009

AL FATIHAH UNTUK ALLAHYARHAMAH ROSMAWATI MAT ISA

Al Fatihah ......!!!

Sama-samalah kita sedekahkan Al Fatihah untuk Allahyarhamah Rosmawati Mat Isa, Pembantu Penerangan yang telah kembali kerahmatullah pada 29 April 2009 yang lalu. Takziah untuk keluarganya dan sama-sama kita berharap keluarganya tabah menghadapi ujian Allah ini.

Allahyarhamah telah pun kembali meninggalkan kita semua. Kita yang masih disini entah bila akan dijemput oleh Yang Maha Kuasa untuk menjadi tetamunya. Entah sekejap lagi, esok, lusa atau bila masanya hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Sementera menanti jemputan Allah itu marilah kita renungkan akan perjalanan hidup kita ini yang semakin hari semakin hampir bertemu Allah. Cukupkah amalan yang telah kita lakukan sebagai bekalan untuk menuju kealam baqa nanti. Mampukah kita berhadapan saat-saat sakratulmaut yang amat sakit dan tidak termampu kita menghadapinya nanti. Renung dan fikirkanlah.....!!!!!!!

Sabtu, 2 Mei 2009

TAHNIAH KEPADA PENGARAH PENERANGAN MALAYSIA NEGERI PERAK

Saya selaku Pegawai Penerangan Daerah, Pengkalan Hulu dan seluruh kakitangan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berbahagia Tuan Haji Abdullah bin Mohd.Ariff,Pengarah Penerangan Malaysia Negeri Perak diatas pengurniaan Darjah Paduka Mahkota Perak(PMP) oleh DYMM Sultan Perak sempena dengan Sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak baru-baru ini.

Pengurniaan ini sesungguhnya menjadi kebanggaan kakitangan Jabatan. Dan adalah menjadi harapan semua kakitangan dengan pengurniaan ini akan memberi suntikan baru kepada Tuan Pengarah Penerangan Malaysia Negeri Perak untuk memperkasakan Jabatan Penerangan Malaysia Perak.

TAHNIAH !!!
TAHNIAH !!!
TAHNIAH !!!

Jumaat, 1 Mei 2009

SELAMAT HARI PEKERJA 2009

Dari wargakerja Pejabat Penerangan Daerah, Pengkalan Hulu mengucapkan Selamat Hari Pekerja bagi kakitangan Pejabat Penerangan Daerah, Pengkalan Hulu dan seluruh wargakerja Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Perak dan seluruh Malaysia.

Tidak lupa untuk wargakerja didaerah Pengkalan Hulu samada yang bertugas disektor awam atau diswasta. Dan ingatlah akan hasrat murni Perdana Menteri " Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.

Semuga sukses didalam setiap apa yang dilakukan. Dan ikhlaskan hati bahawa kita bertugas adalah kerana Allah SWT.

MESYUARAT PENYELARASAN KOMUNITI BESTARI DAERAH PENGKALAN HULU

Pejabat Penerangan Daerah ,Pengkalan Hulu telah mengambil satu langkah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Komuniti Bestari Daerah Pengkalan Hulu. Mesyuarat itu telah diadakan kali pertamanya pada 28 April 2009 di Anjung Bestari Komuniti Bestari Belukar Semang.

Mesyuarat pertamanya yang dipengerusikan oleh Ismail bin Shafee, Pegawai Penerangan Daerah Pengkalan Hulu telah memberi penerangan akan halatuju mesyuarat penyelarasan tersebut. Mesyuarat Penyelarasan ini akan mengadakan mesyuarat secara tetap setiap 3 bulan sekali dan setiap Komuniti Bestari akan bergilir-gilir menjadi tuan rumah kepada mesyuarat ini. Antara matlamatnya ialah :-

i. Merapatkan hubungan antara kakitangan pejabat dengan AJK Komuniti Bestari.
ii. Mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan.
iii. Menyalurkan maklumat dan isu-isu terkini kepada AJK Komuniti Bestari.
iv. Dapat menyelaraskan percambahan idea dikalangan Pegawai Penyelaras dan AJK
Komuniti Bestari.
v. Dapat memantau dan menambahbaikan Anjung Bestari agar lebih teratur dan kemas.

Didalam mesyuarat tersebut setiap Komuniti Bestari akan diwakili Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari. Turut menganggotai mesyuarat ini ialah En.Mohamad Zamri bin Md.Zin dan Md.Sazali bin Abd.Hamid, Pegawai Penyelaras serta En.Ahmad Misran bin Din dan En.Muhamad Hafidza bin Abdul Manaf, Juruaudio Visual dari Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu.

Harapan Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu idea mengadakan mesyuarat penyelarasan ini akan dapat memperkasa Komuniti Bestari didaerah ini.

SELAMAT DATANG KEPEJABAT PENERANGAN DAERAH PENGKALAN HULU


PEJABAT PENERANGAN DAERAH
PENGKALAN HULU
PERAK DARUL RIDZUAN



Assalamualaikum........!!!
Selamat datang ke blog
Pejabat Penerangan Daerah,
Pengkalan Hulu,
Perak Darul Ridzuan.

Pejabat Penerangan Daerah, Pengkalan Hulu terletak di Jalan Pejabat, Pengkalan Hulu. Ianya berhampiran dengan Pejabat Daerah Pengkalan Hulu, Majlis Daerah Pengkalan Hulu, Mahkamah, Pejabat Belia , mini stadium dan beberapa lagi pejabat kerajaan.

Kakitangan pejabat cuma 6 orang terdiri dari Ismail bin Shafee, Pegawai Penerangan Daerah, En.Mohamad Zamri bin Md.Zin dan En Md.Sazali bin Abd.Hamid, Pembantu Penerangan, En.Ahmad Misran bin Din dan En.Muhamad Hafidza bin Abdul Manaf, Juruaudio Visual dan En.Mohd.Fauzie, PRA.

Daerah tugasan cuma satu Dewan Undangan Negeri iaitu DUN Pengkalan Hulu yang terletak di bawah Parlimen Grik.

Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu mempunyai 3 Komuniti BESTARI iaitu Komuniti Bestari Selarong, Komuniti Bestari Klian Intan dan Komuniti Bestari Belukar Semang. Buat masa sekarang cuma satu Kelab Setia yang telah ditubuhkan iaitu Kelab Setia Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Saban.