Selasa, 29 September 2009

SELOKA OPS SIKAP

Aidil Fitri disambut meriah
Disambut meriah pagi dan petang
Apa malang apa kejadah
Ops Sikap 20, 261 nyawa melayang

Dipagi raya berkereta baru
Baru dibeli seminggu lalu
Sungguhnya hati rasa pilu
Rakyat Malaysia pandu terlalu laju

Dari kampong hendak kepekan
Singgah dipasar membeli ikan
Ingatlah teman ingatlah kawan
Segala berlaku jadikan teladan

Rabu, 16 September 2009

HADIAH UNTUK TUN DR.MAHATHIR

Perwakilan MIC mencadangkan Tun Dr.Mahathir dihadiahkan kalungan selipar. Hadiah simbolik dan satu sindiran untuk seorang negarawan yang telah menaburkan jasa selama 22 tahun bagi memastikan Malaysia berada ditahap kecemerlangan bertaraf dunia.

Amat jelas keegoan insan tersebut. Budi bahasa budaya kita yang menjadi pegangan masyarakat Malaysia dilemparkan jauh dari sudut hati. Rasa hormat sudah diketepikan.

Dan tidak sewajarnya percakapan begitu terjadi disaat kita sedang membina satu identiti 1Malaysia.

HADIAH AIDIL FITRI

PANTUN HADIAH AIDIL FITRI ( RM500.00 )

Akan menjelang Aidil Fitri
Rasa seronok tidak terperi
Kakitangan kerajaan harus mensyukuri
Hadiah wang yang diberi.

Sejak menjadi Perdana Menteri
Membuat perubahan sudah semesti
Rakyat sekarang semakin mengerti
Inilah pemimpin yang bijak bestari

Selasa, 15 September 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

SALAM AIDIL FITRI

Aidil Fitri menjelang lagi
Segala persiapan sudah dibeli
Marilah semua insan bestari
Salah dan silap harap dimaafi

Pulang perantau di Aidil Fitri
Inilah saat sangat dinanti
Pesanan untuk semua sekali
Memandulah dengan berhati-hati

SALAM AIDIL FITRI

DARI WARGA PENERANGAN PENGKALAN HULU
MAAF ZAHIR BATIN.

SIVIK RAMADHAN

Sempena dengan bulan Ramadhan ini, Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu telah dapat melaksanakan satu Program Sivik Ramadhan. Dengan sedikit peruntukan dari Ibu Pejabat, Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Perak program itu telah dapat dilaksanakan pada 15 September 2009 bertempat di Masjid Air Panas, Pengkalan Hulu.

Dihadiri lebih kurang 150 orang, program dimulakan dengan majlis berbuka puasa dan selepas Solat Maghrib nasi briani menjadi hidangan istimewa buat semua tetamu yang hadir.

Mudah-mudahan majlis ini mendapat keberkatan dari Allah SWT.

MAJLIS PENYAMPAIAN SUMBANGAN HARIRAYA

Majlis Penyampaian Sumbangan Hariraya Aidil Fitri telah diadakan pada 14 September 2009 bertempat di Perkarangan Pejabat Daerah Dan Tanah Pengkalan Hulu. Penyampaian sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri DiRaja Tajol Rosli bin Ghazali, Adun Pengkalan Hulu.

Majlis ini merupakan satu majlis tradisi yang diadakan pada setiap tahun. Rahman Hydraulic Tin Sdn.Berhad sebuah syarikat perlombongan yang beroperasi di Klian Intan adalah merupakan penyumbang kepada sumbangan hariraya tersebut.

Seramai 90 orang golongan miskin di daerah ini telah menerima sumbangan masing-masing di majlis tersebut.

Rabu, 9 September 2009

Kita Saudara Serumpun

Sejak kebelakangan ini saudara kita di Indonesia sering mengadakan tunjuk perasaan sebagai bantahan bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka kepada Malaysia. Dan yang terbaru hanya kerana masalah tarian telah menimbulkan kekecohan pada rakyat Indonesia.

Sungguh tidak diduga, saudara kita rakyat Indonesia begitu emosional sekarang ini. Kedutaan Malaysia menjadi sasaran protes rakyat Indonesia. Mereka bagaikan sudah hilang pertimbangan fikiran. Semangat persaudaraan diantara kita yang sekian lama kukuh ikatan mereka ketepikan sama sekali. Mereka sedang mengundang api permusuhan dan persengketaan.

Ketidakmatangan saudara kita di seberang sana terutamanya golongan mudanya sudah melampaui batas. Saudara kita sudah lupa bahawa bumi bertuah Malaysia ini tempat saudara -saudara mereka mencari sesuap nasi. Dan sekarang mereka sanggup menghalakan bambu runcing kepada kita.

Saudaraku diseberang sana ! Usahlah kerana sebuah tarian, darah kita mahu dijadikan galang gantinya. KITA ADALAH SAUDARA SERUMPUN.

Terlalu Murah Harga Sebuah Nyawa

Hariraya Aidil Fitri akan datang tak lama lagi. Pada 13 September 2009, OP Sikap akan bermula bagi memastikan pengguna jalanraya mematuhi segala aspek keselamatan dijalanraya.
Pada tahun ini, adalah diharapkan kemalangan maut dijalanraya pada musim hariraya ini akan dapat dikurangkan memandangkan saban tahun ratusan rakyat Malaysia terkorban dijalanraya.
Untuk renungan semua rakyat Malaysia khususnya para pemandu. Usahlah jadikan harga sebuah nyawa terlalu murah dijalanraya. Memandu dengan laju, potong kiri potong kanan, mahu menjadi juara dijalanraya, tidak penting orang lain , akulah yang paling terror , biadap dan semua itu mengundang sebuah kematian.Apakah rakyat Malaysia tidak takut mati atau mereka sudah bosan untuk hidup ???????
Jangan dialirkan air mata ibu dan ayah. Jangan dibiarkan isteri menangis sedih, kasihanlah dianak meratapi kekakuan tubuh seorang ayah.Dan jangan jadikan harga sebuah nyawa terlalu murah.

Selasa, 8 September 2009

MAJLIS PENYERAHAN HAK MILIK TANAH

Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah RPT Kampong Tasek dan RPB Felcra Kampong Pahit, Pengkalan Hulu telah berlangsong pada 8 September 2009 jam 3.00 petang diPerkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Pengkalan Hulu.
Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh YAB Dato Seri Dr.Zambry bin Abd.Kadir, Menteri Besar Perak. Turut hadir dimajlis tersebut ialah mantan Menteri Besar Perak YB Dato Seri DiRaja Tajol Rosli bin Ghazali, Adun Pengkalan Hulu, YB Dato Tan Liang Hoe, Ahli Parlimen Gerik, Adun Temenggor dan Adun Kenering.
Seramai 22 orang penduduk di Kampong Tasek dan dan 67 orang Kampong Pahit telah menerima geran hak milik tanah masing-masing pada majlis tersebut.

Rabu, 2 September 2009

RON 95

Kerajaan telah memperkenalkan minyak petrol baru iaitu Ron 95 . Minyak ini dikatakan lebih mesra alam dan amat sesuai untuk semua kenderaan.
Seiring dengan pengenalan minyak baru tersebut, kerajaan juga telah mengumumkan akan kenaikan harga minyak Ron 95 sebanyak 10 sen selitar. Namun subsidi masih diberi dan ini menjadi tanggungjawap kerajaan untuk rakyat.
Ketika Umat Islam sedang menghadapi bulan Ramadhan dan tidak lama lagi akan menyambut Hari Raya Aidilfitri timbul persoalan, wajarkah minyak dinaikkan disaat ini ?.
Sekarang ini harga ikan basah agak mahal. Gula dihadkan 2 kilogram sahaja untuk seorang. Harga lauk pauk terutamanya ikan bakar, ayam percik memang mahal di Pasar Ramadhan. Bagaimana nasib golongan penoreh getah, buruh kasar. Mereka juga ingin nak makan ayam percik dan ikan bakar yang diluar daripada kemampuan mereka.

JASAMU DIKENANG

Baru-baru ini Komuniti Bestari Kampong Selarong bersama-sama dengan JKKK telah mengadakan satu " Majlis Jasamu Dikenang " .Majlis itu diadakan untuk meraikan Tuan Haji Hassan bin Hussin bekas Pengerusi JKKK Kampong Selarong yang juga Pengerusi Komuniti Bestari Kampong Selarong .
Tuan Haji Hassan bin Hussin yang telah berumur 74 tahun telah melepaskan semua jawatan yang disandangnya termasuk Pengerusi Komuniti Bestari bagi memberi ruang kepada golongan yang lebih muda untuk menerajui kepimpinan diperingkat kampong.
Bagi pihak Jabatan Penerangan Malaysia merakamkan ribuan terima kasih kepada beliau yang telah banyak memberikan sumbangan ketika bersama Komuniti Bestari. Salam perpisahan untuk Tuan Haji Hassan bin Hussin.

Krisis Kepimpinan MCA dan V.Sivakumar

Krisis kepimpinan diantara Presiden MCA dan Timbalan Presiden MCA telah sampai kemuncak. Berkemungkinan besar dua mesyuarat agung luar biasa akan diadakan tidak lama lagi. Disini bukan soal dua mesyuarat agung luar biasa yang nak diperbincangkan tetapi soal perpecahan dikalangan ahli-ahli parti itu sendiri.
Kemelut kepimpinan yang melanda MCA jika tidak dikawal amat merbahaya kepada perpaduan MCA itu sendiri. Kemelut itu juga nyata akan turut menjejaskan imej Barisan Nasional. Luka parah serta tercalarnya imej BN dalam PRU ke 12 lalu masih belum lagi sembuh dan sekarang krisis kepimpinan MCA akan menambahkan lagi tercalarnya imej BN.
Cara terbaik ialah Perdana Menteri wajar segera campurtangan agar perpecahan didalam MCA dapat dibendong. Dan Presiden dan Timbalan Presiden wajar bertemu bagi menyelesaikan masalah kepimpinan ini. Jangan dibiarkan ahli-ahli MCA tersepit diantara dua pemimpin . Sudah pastinya Pakatan Rakyat bersorak gembira dan bertepuk tangan melihat krisis ini.

Bercakap tentang V.Sivakumar bekas Speaker DUN Perak amat menarik untuk diperkatakan. Masih belum menerima hakikat bahawa beliau bukan lagi Speaker DUN Perak namun masih mahu tunjuk kuasa. Tindakan beliau menghantar surat memanggil Sidang DUN Perak telah melampaui batas. Apa lagi perkataan yang sewajarnya untuk dilabelkan kepada beliau.
Ramai yang berpendapat, V.Sivakumar wajar diambil tindakan undang-undang dan Kerajaan BN Perak patut mendapatkan perintah mahkamah agar beliau berdiam diri dan tidak mengambil tindakan diluar bidang kuasanya.
Samada krisis kepimpinan MCA atau tindakan V.Sivakumar kedua-dua perkara tersebut menjurus kepada soal siapa yang berkuasa. Dan kedua-duanya boleh membawa kepada perpecahan dan yang menjadi terkeliru ialah RAKYAT.

Selasa, 1 September 2009

Majlis Berbuka Puasa dan More Komuniti Bestari Klian Intan

Komuniti Bestari Klian Intan telah mengambil inisiatif untuk mengadakan majlis berbuka puasa dan more sempena bulan Ramadhan bersama-sama dengan penduduk beragama Islam Klian Intan di Masjid Klian Intan pada 6 September 2009 ini.
Semua penduduk beragama Islam di Klian Intan serta kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Pengkalan Hulu telah dijemput untuk bersama-sama dimajlis tersebut. Mudah-mudahan majlis yang murni ini akan mendapat keberkatan dari Allah SWT. InsyaAllah.

Kursus Induksi Umum

Pegawai Penerangan Daerah Pengkalan Hulu, Ismail bin Shafee telah menghadiri Kursus Induksi Umum Kumpulan 1 7/2009 Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bermula 16 Ogos 2009 hingga 27 Ogos 2009.
Kursus itu telah diadakan di Agrotek Garden Resort, Hulu Langat, Selangor. Seramai 48 orang kakitangan gred 27 hingga Gred 41 dari Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah mengikuti kursus tersebut.
Ternyata kursus itu banyak memberikan pendedahan yang amat berguna kepada semua kakitangan untuk terus memberikan sumbangan terbaik ketika menjalankan tugas harian.